“Mengapa perangai dia tak sama dengan aku?”
“Kenapa aku tidak boleh jadi macam dia?”
Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa setiap orang yang dilahirkan di dunia ini mempunyai watak, perangai serta karakter yang berbeza-beza? Sehinggakan kadang-kadang timbul rasa rendah diri melihatkan kelebihan dan kemampuan orang lain. Tetapi pada hakikatnya tidak semua yang dilahirkan itu sempurna kerana sebagai seorang manusia pasti akan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Disebabkan itulah, kita perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Penulisan kali ini akan memberi tumpuan kepada 4 jenis keperibadian manusia berdasarkan hasil cetusan idea Hippocrates pada zaman Yunani Kuno. Teori ini kemudian dikembangkan oleh ahli psikologi pada masa kini.
Choleric: Elemen Api
Mereka yang bersifat choleric adalah seorang yang bersemangat, ekstrovert, bercita-cita tinggi dan boleh menjadi pemimpin yang hebat. Mereka juga mahir dalam membuat analisis dan cenderung berfikiran logik. Seseorang yang bersifat choleric lebih mementingkan pendapat atau prinsip yang jelas bagi melaksanakan kerja dengan pantas dan efisien. Emosi akan diketepikan bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mendapatkan hasil yang terbaik serta memuaskan. Perjalanan kerjaya mereka sering kali menjurus ke arah industri moden seperti pengurusan, pengaturcaraan, perniagaan, dan lain-lain.
Melancholic: Elemen Tanah
Istilah umum bagi personaliti melancholic ialah seseorang yang beremosi dan konvensional. Mereka lebih cenderung menjadi seorang yang pendiam, introvert, artistik dan idealis. Mereka kaya dengan sifat belas kasihan dan sangat empati terhadap masyarakat sekeliling. Mereka juga gemar menghabiskan masa lapang secara bersendirian kerana melalui semua ini dapat membantu mengembalikan tenaga mereka untuk menjalani kehidupan harian. Di samping itu, mereka juga adalah seorang yang teratur dan analitikal, yang mana membawa mereka kepada kerjaya dalam bidang pengurusan, perakaunan atau kerja sosial.
Phlegmatic: Elemen Air
Phlegmatic sering dikaitkan dengan seseorang yang tenang dan bersahaja namun boleh bertukar menjadi seorang yang degil jika terlalu memaksa. Mereka juga merupakan seorang yang penyabar, sopan santun disebabkan sikap mereka yang sukakan keharmonian dan ingin menghindari konflik. Dalam situasi apa pun sama ada susah ataupun senang, phlegmatic lebih memilih untuk menghadapinya dengan tenang dan damai. Kerjaya yang ideal bagi mereka yang phlegmatic termasuk pekerjaan yang mengambil berat perihal orang lain dan memerlukan perhatian lebih sebagai keutamaan seperti pendidik, kejururawatan, kaunseling, perkhidmatan sosial dan sebagainya.
Sanguine: Elemen Udara
Sanguine dapat diertikan sebagai seorang yang ceria, riang, aktif dan optimis dengan masa depan. Orang yang mempunyai jenis perangai ini sukakan kepada cabaran. Mereka suka bergerak dan tidak gemar berada di satu tempat yang statik. Dengan kata lain, mereka seolah-olah sentiasa mencari sesuatu yang baru. Sanguine mempunyai daya imajinasi dan kreativiti yang tinggi. Kebanyakan sanguine sering menjadi artis, penghibur atau mereka mungkin sangat sesuai dengan pekerjaan yang berkaitan dengan pemasaran, perjalanan, industri fesyen, memasak, dan sukan.
Meskipun teori ini tidak menggambarkan secara keseluruhan keperibadian seseorang, setidak-tidaknya kita dapat mengambil manfaat untuk meningkatkan potensi diri. Marcapada ini, telah banyak perkembangan ilmu teori personaliti diri dijalankan oleh ahli sarjana bidang psikologi seperti Myers – Briggs Type Indicator (MBTI), Holland SDS Test dan seumpama dengannya. Hanya diri kita sahaja yang perlu bertindak untuk mempelajari berkenaan kelebihan dan kekurangan diri agar wujudnya perasaan sayang terhadap diri sendiri. Jadi, antara keempat-empat personaliti ini yang manakah lebih menepati keperibadian diri anda?
Comments