top of page

[Warta Terkini UM] 55 PELAJAR PUSAT PENDIDIKAN BERTERUSAN UM, KELANTAN HULUR BANTUAN PASCA BANJIR


TUMPAT, 6 Januari 2024 – Keprihatinan terhadap mangsa banjir yang melanda Pantai Timur Semenanjung mendorong kira-kira 55 orang pelajar dan kakitangan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, kampus Bachok, di sini, turun padang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir. 


Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang turut melibatkan 70 anggota daripada Batalion 7 PGA dan 10 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor bersama Yayasan Raja Shamri membantu penduduk di sekitar Mukim Kuala Jambu, di sini. 



Selain membersihkan kawasan sekitar akibat bencana banjir yang melanda pada Disember lalu, program yang turut disertai penduduk Kampung Kubang Sawa itu turut melakukan pembersihan sekitar Masjid Kampung Kubang Sawa yang ditenggelami air.


Turut terlibat dalam aktiviti terbabit, antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Polis Diraja Malaysia dengan hasrat dan tujuan untuk mendekati serta menyelami permasalahan yang dihadapi mangsa banjir, bagi membantu dalam apa jua bentuk bantuan untuk memastikan keselamatan diri, harta benda dan kehidupan harian mangsa kembali pulih. 



Selain bantuan tenaga membersihkan sisa banjir, program terbabit turut menghulurkan sumbangan barangan asas seperti makanan kepada kira-kira 150 keluarga yang terjejas. Keprihatinan dengan bantuan yang dihulurkan itu disambut baik penduduk serta Imam Besar Masjid Kampung Kubang Sawa, Muhammad Saidi Yunus yang menantikan bantuan daripada orang ramai. 


Program diketuai oleh Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Supt Azhari Nusi serta wakil Yayasan Raja Shamri, Zaimah Raja Omar, turut dihadiri Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7, DSP Ku Majidin Che Ku Jusoh; Pensyarah Universiti Malaya, Nordina Ab Aziz; PKB II Bomba Pengkalan Kubor, Tuan Abdul Halim Tuan Abdullah dan Ketua Polis Balai Kuala Jambu, SM Nik Mohd Nazri Nik Jaafar.


53 views0 comments

Comentários


bottom of page