KUALA LUMPUR, 2 Disember 2023 - Istiadat graduasi Universiti Malaya sudah melabuhkan tirai dengan pelbagai kisah dan warna corat-coret graduan yang akan melangkah ke alam baharu kehidupan. Sepanjang lapan hari kemeriahan, kampus Universiti Malaya bagaikan berpesta dengan air mata dan kegembiraan meraikan pencapaian para graduan.
Tidak kurang juga kemeriahan yang dirasai lebih 770 graduan Diploma dan Diploma Eksekutif Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya yang diraikan dalam acara gemilang, penuh protokol di Dewan Tunku Canselor di sini, hari ini.
Detik indah yang turut diraikan keluarga dan rakan-rakan menjadi momen berharga sebagai kenangan yang akan terpahat dalam kisah kehidupan. Perit jerih mengorbankan masa demi segulung skrol untuk masa depan yang lebih cerah, menjadi kekuatan diri bagi mendepani realiti kehidupan sebenar di luar pembelajaran.
CABAR DIRI UNTUK BERJAYA SEPERTI INSAN NORMAL
Begitulah rintangan dihadapi dan dilalui insan istimewa, Muhammad Irfan Ezani Mohd Zaini yang mengalami cacat penglihatan. Kekurangan diri bukanlah kelemahan yang perlu diratapi, tetapi, menjadi kekuatan untuk bangkit seiring dengan insan normal lain. Tidak pernah meletakkan dirinya berbeza daripada orang lain, sebaliknya, layanan yang diterima sepanjang pengajian dirasai sama rata.
Meskipun terpaksa bersaing dengan orang lain, namun, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan ini menganggap, ibunya, Jamiah Mohd Nasir adalah sumber kekuatan untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.
“Apa yang saya capai dan miliki ini adalah atas reda emak. Saya melalui masa-masa sukar dalam kehidupan dan cabaran yang saya tempuh ini adalah untuk mematangkan diri saya. Alhamdulillah, saya mendapat dokongan dan dorongan daripada semua pensyarah serta rakan-rakan yang tidak menyisihkan saya, sebaliknya, banyak membantu walaupun masing-masing bersaing untuk berjaya.
“Saya sentiasa bersikap positif dan mencabar diri untuk lakukan sesuatu ‘from nothing to be something’ yang berguna kepada orang lain juga. Bagi saya, apa yang diharapkan itu tidak berlaku, saya anggap bukan rezeki,” katanya yang kini sedang mengusahakan syarikat pembinaan.
Di usia 20 tahun sudah memiliki perniagaan sendiri, memberi cabaran kepada Muhammad Irfan Ezani yang terpaksa bersaing dengan orang lain yang lebih berpengalaman dan berpengaruh dalam industri. Namun, cabaran itu dianggap motivasi diri sebagai pemangkin untuk bangkit mendepani realiti kehidupan.
Atas rasa ingin berjaya seperti orang lain dan meletakkan dirinya dipandang masyarakat, anak tunggal ini bangkit untuk memantapkan akademik dengan menjadikan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai pilihan, memandangkan fasiliti dan kemudahan pembelajaran yang ditawarkan sesuai untuk orang kelainan upaya sepertinya.
“Saya mengalami masalah penglihatan sejak berusia tujuh tahun dan ketika SPM, saya mengalami masalah kesihatan yang memaksa saya dimasukkan ke hospital. Tetapi, saya sentiasa yakin pada diri yang saya juga mampu berjaya macam orang lain. Jadi, saya memilih Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebab ada kemudahan untuk OKU termasuk kadar diskaun 50 peratus,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
SUAMI SUMBER KEKUATAN UNTUK SAMBUNG PENGAJIAN
Meskipun sudah memilih Ijazah Sarjana dalam jurusan undang-undang, namun, Nor Masitah Ishak menganggap penguasaan ilmu tidak boleh terhenti setakat apa yang dimiliki. Sebaliknya, menjadikan dorongan dan sokongan suami, Ahmad Fauzie Zainal sebagai penguat semangat untuknya menyambung pengajian ke peringkat Diploma Eksekutif Pengurusan Sumber Manusia.
Graduan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya ini bukan sahaja membuktikan keupayaan diri dan kemampuannya untuk menambah koleksi pencapaian akademik, sebaliknya, turut meraih Anugerah Naib Canselor. Malah, pencapaian yang diraih itu akan dijadikan suntikan untuknya menyambung pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran.
“Ada keperluan Diploma Eksekutif ini kerana saya rasa untuk sambung ke peringkat Phd dalam bidang undang-undang, saya tidak mempunyai cukup ilmu untuk jadi pakar. Jadi, dengan adanya diploma ini, saya boleh jadikan sandaran untuk sambung Phd dalam sumber manusia, tetapi, berkaitan dengan undang-undang.
“Tanpa sokongan dan dorongan daripada suami, saya rasa tak boleh buat sendiri. Malah, suami yang juga alumni Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya banyak beri galakan untuk saya sambung belajar di sini. Walaupun masa untuk kami berdua akan tergadai, saya sentiasa anggap biarlah susah sedikit sekarang, tetapi, benefit akan lebih indah di kemudian hari,” katanya yang sedang dalam rangka menyiapkan kertas kerja untuk menyambung ijazah kedoktoran.
Menganggap Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya memiliki barisan pensyarah yang berkaliber dan sentiasa membantu, memberi keyakinan kepadanya untuk menamatkan pengajian dengan jayanya meskipun berdepan dengan situasi pembelajaran secara atas talian, disebabkan oleh pandemik COVID-19.
“Kelas banyak diadakan pada hujung minggu, jadi memudahkan saya. Kadang, rasa bersalah dengan suami sebab adakalanya dia terpaksa menyiapkan kerja rumah sendirian. Tetapi, alhamdulillah, dia sangat memahami. Pihak pengurusan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya dan barisan pensyarah banyak membantu, serta sentiasa ada jawapan bagi memudahkan pelajar yang terpaksa belajar ketika lockdown.
“Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk sambung belajar di sini kerana menyangka institusi swasta. Tetapi, dengan dorongan suami dan setelah berada di sini, saya rasa hubungan dengan warga Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya lebih rapat,” jelasnya.
SUNTIKAN PENGALAMAN ALUMNI KEPADA ISTERI
Merasakan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sesuai dengan kehendak dan keperluan isterinya, Ahmad Fauzie menjadikan pengalaman sebagai kekuatan buat Nor Masitah untuk meneruskan hasratnya menyambung pengajian.
“Saya tahu dia suka belajar sebab selepas tamat Master, dia masih mahu belajar, cuma dalam bidang lain. Jadi, saya cadangkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya kerana saya alumni dan saya tahu suasana pembelajaran di sini macam mana.
“Cuma, masa memisahkan kami kerana ketika dia belajar, saya juga sedang menyambung pengajian ijazah. Tetapi, disebabkan kelas di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya lebih fleksibel, jadi tidaklah begitu terasa. Bahkan, sesuai untuk dia menambah pengetahuan dan pembelajaran kerana kerana di sini sangat bagus,” tambahnya.
Comments