CYBERJAYA, 20 Disember 2023 - Menyedari hakikat keperluan pembelajaran sepanjang hayat, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mengakui pentingnya masyarakat menitikberatkan pendidikan meskipun sudah berusia. Jelas penyanyi nombor satu negara itu, pembelajaran sepanjang hayat perlu bagi membina sebuah negara bangsa yang berilmu dan berpengetahuan, tidak mengira peringkat usia.
Meskipun sudah berusia 44 tahun, pelantun lagu Cindai dan Nirmala itu masih menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian, namun sedang berkira-kira untuk merealisasikan hasrat itu, memandangkan kesibukan tugas sebagai artis, usahawan dan ibu serta isteri memerlukan penelitian dalam pembahagian masa sebelum membuat keputusan.
Katanya, menjadi seorang suri teladan kepada masyarakat, perlu memberi contoh berguna untuk menjadi ikutan, tidak hanya penampilan kehidupan sebagai selebriti. Malah, setiap tindak tanduk seseorang artis atau tokoh masyarakat akan menjadi perhatian ramai, dan perlu memberi gambaran yang berguna sebagai dorongan kepada masyarakat.
“Saya terbabit dalam industri seni ini sejak usia masih muda, jadi hasrat untuk sambung belajar itu memang ada. Tetapi, memandangkan dengan tugas hakiki sebagai artis dan ibu kepada anak-anak, saya perlukan ruang bagi memikirkan soal pembahagian masa sebelum membuat keputusan.
“Memang ada tawaran daripada institusi pengajian tinggi, namun, saya belum memikirkannya lagi disebabkan soal masa. Saya cuba untuk ‘adjust’ masa untuk sambung belajar agar tidak terganggu dengan urusan-urusan hakiki,” katanya yang ditemui di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya di sini.
Kehadiran bintang seni suara tersohor tanah air itu dalam program Master Class: Evolution Expert anjuran Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, membongkar kisah perjalanan karier seninya sehingga bergelar usahawan berjaya. Program yang bermatlamat untuk memberi perkongsian ilmu mengenai kejayaan, pencapaian dan pahit getir sebagai seorang selebriti, turut menampilkan pelakon Esma Daniel dan Mubarak Majid, serta pengacara televisyen, Amin Idris dan Farrah Deeba yang berkongsi pengalaman dalam bidang masing-masing menerusi lima sesi Master Class bermula 2 Disember lalu.
Menyentuh mengenai program terbabit, Siti Nurhaliza berkata, perkongsian yang diberikannya berbeza daripada program-program seumpama sebelum ini, memandangkan ada kisah yang tidak pernah diketahui umum turut dikongsikan dengan peserta.
Menurutnya, setiap perkongsian yang diberikan berhubung kepayahan dan kesukaran untuk merealisasikan impiannya sebagai anak seni, ada hubung kaitnya dengan pelajar yang sedang bertarung dan berjuang dengan diri masing-masing untuk berjaya dalam pelajaran.
“Saya minta Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya untuk tekankan dari sudut yang berbeza dengan lebih memberikan fokus kepada diri saya sebagai seorang individu berdasarkan kepelbagaian kecerdasan, iaitu kerjaya, impian, kejayaan dan pencapaian diri.
“Program Master Class ini membuktikan yang Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya memang meraikan insan-insan yang ada kepakaran dalam bidang masing-masing, dan hari ini saya lebih menumpukan kepada kepakaran dan kelebihan bakat dalam diri saya dari sudut pandang yang berbeza,” katanya.
Tambahnya, dengan kehadiran selebriti dalam program sebegini juga penting untuk pelajar-pelajar memahami dan membuat persiapan sebagai langkah sebelum keluar dari kampus. Ini kerana, golongan selebriti atau artis sangat dekat dengan masyarakat dan mudah menjadi ikutan, terutama golongan muda.
“Ramai artis yang bagus dan memiliki kelebihan dalam bidang masing-masing. Langkah yang dilakukan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya ini perlu diteruskan dengan menampilkan selebriti dan personaliti berpengaruh sebagai impak kepada anak-anak muda.
“Kebiasaannya, artis yang bagus sekadar di lihat di media sosial dengan kehidupan sebagai selebriti, tetapi, tidak diketahui umum mengenai kisah disebalik pencapaiannya. Kisah sebegini perlu dikongsikan kerana apa yang dilaluinya itu lebih bermakna kepada masyarakat,” jelasnya.
Comments