top of page

[Warta Terkini UM] KAMPUS BAHARU LEBIH SELESA DAN MEMUDAHKAN PELAJAR

Keselesaan pelajar menjadi keutamaan pihak pengurusan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya bagi memastikan setiap mahasiswa mendapat akses fasiliti yang sesuai dengan kehendak dan keperluan sepanjang berada di kampus.


Meskipun baru beberapa bulan beroperasi dan sedang ditambah baik demi kemudahan semua dari segi infrastruktur dan jaringan akses pembelajaran, namun, rata-rata pelajar berpuas hati dengan fasiliti yang tersedia, termasuk kemudahan makanan.



Bagi Siti Umairah Mohd Adnin, apa yang tersedia di sini lebih menyenangkan dan memberi keselesaan kepadanya memandangkan proses pembelajaran dan fokus terhadap kelas lebih diutamakan dengan suasana persekitaran yang kondusif.


“Saya tinggal di Nilai, jadi apabila bertukar kampus ini memberi kelebihan kepada saya memandangkan ia lebih dekat. Ditambah pula, dengan fasiliti di kampus ini selesa dan bagus untuk fokus kepada pembelajaran.


“Apatah lagi, kampus ini lebih luas dengan persekitaran yang selesa membuatkan pelajar akan lebih fokus untuk belajar,” katanya yang juga pelajar semester 5, Diploma Pengurusan.

Jelas Umairah, dengan adanya kemudahan kafe baharu di dalam kampus akan memberikan lebih pilihan kepada pelajar untuk menjamu selera, di samping kemudahan kafeteria yang tersedia.


Memiliki fasiliti dan persekitaran yang lebih baik dengan keadaan kelas yang selesa, memberikan suasana yang menyenangkan kepada Thurgesh untuk fokus kepada pelajaran. Malah, dengan akses yang terdapat di sekitar kampus memberi kelebihan kepada pelajar untuk bergerak.



“Saya rasa di sini lebih bagus dan selesa kerana suasana persekitaran yang baik serta kemudahan yang disediakan juga memuaskan. Walaupun masih baharu, tetapi, saya selesa dan kafe baharu yang disediakan juga memudahkan pelajar membuat pilihan.


“Walaupun saya tinggal di Bangsar, tetapi tidak ada masalah kerana kemudahan di sini luas dengan parkir yang tersedia memudahkan saya untuk berulang-alik dengan memandu. Keadaan kelas juga lebih selesa dan banyak fasiliti disediakan,” katanya.



Senada dengan apa yang diperkatakan, pelajar semester 2 program Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Amarr Idham Suni, berkata pihak pengurusan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya memainkan peranan dalam memberi keselesaan kepada pelajar dengan kemudahan yang tersedia.


Menyedari keadaan kampus masih terlalu baharu dan ada yang perlu ditambah baik dan dipertingkatkan, namun, keadaan yang ada ketika ini sudah memberi keselesaan kepada pelajar dan memberi gambaran mengenai kesungguhan pihak pengurusan dalam menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelajar.


“Kalau saya lihat dari segi kemudahan kelas, cukup selesa dan baik. Malah, dengan penambahan kelas memberi lebih keselesaan kepada pelajar. Cuma, saya harapkan ada kemudahan bas disediakan kepada pelajar yang ingin ke masjid pada hari Jumaat.


161 views0 comments

Comments


bottom of page