top of page

[Warta Terkini UM] PELAJAR STPM BERKAMPUNG DI PUSAT PENDIDIKAN BERTERUSAN UM, PERTAJAM ILMU

CYBERJAYA, 1 Disember 2023 - Menjelang peperiksaan semester pada Januari tahun depan, kira-kira 450 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mengambil bahagian dalam sesi pemantapan ilmu menerusi program Perkampungan Ilmu STPM di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya. 


Pelajar dari empat buah sekolah di daerah Petaling, Sepang, Hulu Langat dan Klang itu, mengikuti program selama sehari bagi mengasah ilmu dalam subjek Sejarah dan Pengajian Perniagaan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan semester satu. 


Penganjur program yang juga Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Cyberjaya, Nor Asiah Baharin, berkata penganjuran program kali ketiga dan yang terakhir untuk tahun ini, merupakan bengkel untuk pelajar mempelajari teknik menjawab soalan. 


“Matlamat program adalah untuk memberi input kepada pelajar mengenai persiapan bagi menghadapi peperiksaan dengan teknik-teknik yang akan dikongsikan oleh tenaga pengajar. 


“Program sebegini bukanlah kali pertama dianjurkan, cuma, ini kali pertama ia diadakan di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya memandangkan kampus ini baharu dan sebuah institusi pengajian awam,” katanya. 


Jelas beliau, pemilihan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai lokasi program dibuat bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar bagi mendekatkan mereka dengan universiti. 


Beliau berkata, langkah ini perlu bagi mendidik pelajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana kampus, di samping menanamkan impian dalam diri pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. 


“Sebelum ini, kita banyak menjadikan universiti swasta sebagai lokasi program, tetapi, kali ini kita memilih di sini kerana ia sebuah universiti awam dan kita cuba beri pendedahan kepada mereka dengan suasana kampus awam sebenar. 


“Malah, UM sendiri sebuah jenama yang besar dalam bidang pengajian tinggi. Jadi, dengan kita membawa pelajar ke sini, ia akan menarik minat pelajar untuk mendekati universiti,” katanya. 


Harapan beliau, program yang dianjurkan itu akan terus mendapat kerjasama erat daripada pihak pengurusan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya di masa akan datang, sebagai dorongan dan pendedahan kepada pelajar mengenai alam kampus.


10 views0 comments

Comments


bottom of page