KUALA LUMPUR, 18 Disember 2023 – Kerjasama Akademi Kulinari Elengaz dengan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya membuka lembaran baharu kepada pelajar pusat latihan tersebut untuk memperoleh sijil yang diiktiraf Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya selepas selesai menjalani latihan industri.
Program yang dikendalikan akademi tersebut akan melayakkan kira-kira 70 pelajar setahun memperoleh kelayakan yang ditauliahkan universiti, namun perlu menamatkan 500 jam latihan sambil belajar di hotel-hotel, serta mengikuti program kesedaran halal dan kebersihan makanan.
Jelas Mohd Zaki Mohd Yaacob, Pengurus Bahagian Komunikasi dan Korporat, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, pelajar perlu menamatkan pengajian dan memperolehi diploma dari Akademi Kulinari Elengaz dahulu, kemudian mengikuti latihan industri selama enam bulan yang akan dikendalikan dan dinilai oleh Chef Michael Ooi Beng Hock, yang merupakan ketua penilai dilantik oleh Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya.
“Peserta perlu mendapatkan pengiktirafan atau sokongan dari industri yang disertai sama ada dalam bentuk sijil perakuan atau surat perakuan, sebelum layak untuk di nilai oleh Pusat Pendidikan Berterusan UM.
“Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya akan mengeluarkan sijil kelayakan itu kepada yang berjaya menyelesaikan semua program, latihan dan penilaian. Ini penting, bagi melahirkan sumber manusia yang betul-betul berkualiti dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyaksikan Majlis Menandatangi Kerjasama antara pusat latihan itu dengan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya di kampus Universiti Malaya di sini, untuk tempoh empat tahun.
Katanya, kerjasama yang terjalin ini merupakan satu momentum kepada Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang diperakui dan diiktiraf peranannya oleh industri untuk bekerjasama.
“Ini juga menjadi penanda aras kepada Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya dalam menghasilkan program-program yang berkualiti, serta mendapat sokongan pihak luar untuk menjadikan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya sebagai pusat rujukan PSH,” ujarnya.
Comments