top of page

[JomFit] Adakah "Stalker" Mempunyai Gangguan Mental?


Tahukah anda, setiap perkembangan peribadi yang anda kongsikan di media sosial meninggalkan jejak digital? Semakin banyak anda kongsi, semakin mudah aktiviti anda dikesan. Tanpa disedari jejak digital ini memberikan ruang kepada individu yang berniat buruk untuk mengganggu kehidupan anda. Salah satunya ialah stalker. Apa itu stalker? Adakah saya mengenali stalker?


Perkataan stalker berasal dari perkataan bahasa Inggeris, stalk yang membawa maksud mengintai atau mengintip. Stalker ialah individu yang obses memerhatikan seseorang dengan niat untuk mengganggu dan menganiaya. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), stalker adalah tindakan obses mengambil tahu maklumat media orang lain terutamanya individu yang mempunyai tahap sosial yang lebih tinggi seperti selebriti. Adakalanya, stalker menjadikan individu yang diminati sebagai mangsa. Perbuatan ini dikaitkan dengan masalah kesihatan mental delusi kerana mereka percaya mangsa menaruh perasaan pada mereka tetapi hakikatnya tidak. Masalah delusi ini dikenali sebagai Erotomania. Terdapat 2 jenis stalker iaitu memerhati dan mengintip pergerakan seseorang secara terang-terangan atau mengintip mangsa melalui aktiviti media sosial.


Berikut antara tanda Erotomania yang boleh dikenal pasti:

1. Percaya mangsa mempunyai rasa cinta pada diri pelaku (stalker),

2. Percaya bahawa mangsa memberikan isyarat atau tanda bahawa mereka menyukai si pelaku,

3. Cemburu buta apabila melihat mangsa bersama orang lain

4. Cuba untuk menyerang secara fizikal individu yang rapat dengan mangsa.


Apa yang perlu anda lakukan sekiranya ada stalker yang sedang mengintip akaun media sosial anda? Pertama sekali, tukar tetapan privasi akaun anda kepada private atau tertutup. Seterusnya, cuba untuk tapis kenalan yang tidak dikenali. Hal ini kerana kebanyakan stalker akan menggunakan profil palsu untuk mengintip aktiviti media sosial mangsa. Selain itu, kurangkan penggunaan geotagging atau tag lokasi pada setiap perkembangan status dan gambar anda. Semakin kerap anda memuatnaik gambar dengan tag lokasi, semakin mudah lokasi terkini anda dikesan. Sekiranya anda berjaya mengenalpasti akaun milik stalker, laporkan kepada pihak sosial media dan buat tangkap layar atau screenshot profil tersebut untuk tujuan laporan polis.


Di Malaysia, online stalking atau pengintipan maya juga dikira sebagai jenayah dan termaktub dibawah Akta Kanun Keseksaan (Akta 574). Jadi, sekiranya anda mengalami gangguan ini, serahkan kepercayaan dan kepakaran pihak polis untuk menjejaki pelaku tersebut.


Jika anda merasakan anda mempunyai gejala Erotomania, kami menyarankan anda untuk mendapatkan nasihat dan rundingan daripada pakar untuk mengatasi gejala ini daripada menjadi semakin agresif dan memudaratkan orang di sekeliling anda.

6 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page