top of page

[Jom Fit] ELAK MAKAN BERLEBIHAN, HINDARI TABIAT TIDUR LEWAT


Tubuh manusia memerlukan kadar penggambilan makanan yang simbang dan selari dengan keperluan tubuh badan mengikut berat seseorang. Andai terlebih pengambilan, apatah lagi membabitkan pemakanan yang kurang zat dan gizi, menyebabkan sistem penghadaman tidak sekata, obesiti dan mengundang pelbagai penyakit. 


Di usia yang semakin meningkat, sepatutnya kadar pengambilan makanan perlu dikurangkan terutama membabitkan makanan yang tidak berkhasiat. Ini kerana, sistem imuniti tubuh kita memerlukan sumber yang tinggi serat dan protein untuk melakukan sebarang aktiviti harian. 


Kita sering mendengar saranan pakar pemakanan dan kesihatan yang mengingatkan kita agar mengambil makanan sekadar mencukupi untuk keperluan tubuh. Ini disebabkan, rakyat Malaysia adalah penyumbang tertinggi kadar obesiti di rantau Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus daripada populasi penduduk.


Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, kira-kira 50.1 peratus dalam kalangan rakyat negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan, dan prevalen obesiti dalam kalangan orang dewasa turut meningkat lebih daripada tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun iaitu 1996 hingga 2006.


Situasi ini cukup membimbangkan jika tidak dikawal dan kurang melakukan aktiviti sihat seperti bersenam antara faktor majoriti rakyat negara ini terdedah kepada obesiti, disebabkan gaya pemakanan yang tidak teratur serta gemar makan lewat malam. Golongan belia terutama pelajar antara yang paling ramai terdedah kepada masalah pengambilan makanan yang tidak terurus. 


TIDUR DI AWAL WAKTU, BANGUN SEAWAL PAGI


Apatah lagi dengan amalan makan lewat malam sehingga menjadi tabiat akan turut mengganggu waktu tidur yang sepatutnya perlu menjadi rutin pada jam 10 malam. Namun, dengan adanya gajet dan aplikasi media sosial turut menyumbang kepada tabiat tidur lewat sehingga menjejaskan waktu yang sepatutnya dikhususkan untuk tubuh beristirehat. 

Satu kajian yang diterbitkan European Heart Journal pada 2011 mendapati, kaitan tidur lewat dengan angin ahmar dapat meningkatkan risiko strok, serangan jantung dan penyakit berkaitan kardiovaskular yang lain. Ini diperjelaskan menerusi penyelidikan daripada Fakulti Perubatan, Universiti Warwick yang membuat kajian selama 25 tahun terhadap 470,000 responden daripada lapan buah negara seperti Jepun, Amerika, Sweden dan United Kingdom.


Hasil kajian itu menunjukkan, individu yang tidur kurang daripada enam jam pada waktu malam memiliki peluang 15 peratus lebih tinggi untuk terkena atau meninggal dunia akibat angin ahmar berbanding dengan mereka yang mendapat tidur yang mencukupi. Manakala, mereka yang tidur kurang daripada enam jam pada waktu malam memiliki risiko 48 peratus lebih tinggi terkena atau meninggal dunia disebabkan penyakit jantung.



Penyelidik kajian itu, Profesor Dr Francesco Cappuccio menjelaskan, trend tidur lewat sebenarnya adalah bom jangka yang boleh meletus pada bila-bila masa sekiranya tabiat itu tidak diubah. Malah, sebagai pelajar, waktu yang disarankan untuk berehat adalah sekitar jam 9 atau 10 malam dan bangun seawal jam 5 atau 6 pagi bagi mendapatkan minda yang cergas serta mengelakkan diri daripada mudah terkena penyakit. 


Ini kerana, bangun di awal pagi dengan mandi bukan sahaja dapat menyegarkan tubuh dan mengembalikan tenaga positif dalam badan, sebaliknya membekalkan vitamin mencukupi yang diperlukan tubuh.   




124 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page