top of page

[Jom Fit] PEMAKANAN SEIMBANG PENYUMBANG KEPADA PEMIKIRAN YANG SIHAT


Terjerat dengan pemakanan yang tidak seimbang dan bergizi membuatkan ramai antara kita mengalami pelbagai masalah kesihatan, yang turut mengganggu pemikiran. Tidak mustahil, disebabkan masalah pengambilan makanan ada individu yang sering berhalusinasi serta membuatkan pemikiran bercelaru. 


Apatah lagi sebagai pelajar, faktor pemakanan yang sihat dan cukup zat sangat diperlukan tubuh bagi sistem ketahanan badan apabila menghadapi hari yang panjang dengan kelas. Bayangkan kalau jumlah makanan yang diperlukan tubuh dalam sehari tidak mencukupi, keadaan seseorang pelajar itu akan menjadi lemah serta hilang tumpuan dalam pelajaran. 

Keadaan itu boleh mengakibatkan seseorang pelajar akan berasa tertekan, fikiran terganggu dan kemurungan yang berpanjangan. Makanan ringan, makanan segera dan tinggi sodium antara faktor penyumbang kepada permasalahan gangguan mental dan boleh menyebabkan badan terasa lesu. 



Satu kajian di China mendapati ramai golongan belia terutama pelajar di negara tembok besar itu sering berdepan dengan masalah kesihatan mental, bahkan ada yang meninggal dunia disebabkan mengambil jalan mudah dengan pengambilan mi segera sebagai sajian cepat dan ringkas secara berlebihan.


Ini kerana, menurut Dr Branden Kuo dari Universiti Harvard, mi segera sukar dicerna oleh tubuh selain penggunaan bahan pengawet yang tinggi dalam makanan itu. Malah, pengambilan yang kerap dalam seminggu bukan sahaja menyebabkan obesiti, tetapi turut menyumbang kepada masalah kanser perut. 


STABILKAN TUBUH DENGAN SERAT DAN PROTEIN

Oleh yang demikian, pengambilan makanan yang tinggi serat dan protein seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan ayam sangat disarankan kerana bukan sahaja dapat menstabilkan sistem dalaman tubuh, bahkan membantu mengurangkan kolestrol serta menghalang peningkatan berat badan. 



Namun, berapa banyak kuantiti makanan yang diperlukan tubuh? Bagi wanita dewasa, jumlah yang diperlukan sekitar 140 hingga 170 gram bagi setiap hidangan, manakala lelaki antara 170 hingga 226 gram. Tetapi, setiap hidangan perlu memenuhi kriteria piramid makanan sihat yang merangkumi, bijirin, protein, serat dan kekacang. 


Umum mengetahui ramai dalam kalangan kita sukar untuk menjamah sayur-sayuran kerana dikatakan kurang rasa. Hakikatnya, sayur-sayuran terutama jenis tumbuhan hijau sangat baik untuk meneutralkan potential hydrogen atau pH dalam tubuh, bahkan penyumbang kepada ketahanan sistem tubuh. 



Membekalkan tubuh dengan sumber protein yang mencukupi membantu menguatkan daya ingatan terutama sumber yang terdapat pada ikan dengan omega yang tinggi. Setiap daripada kita memerlukan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pengambilan tenaga atau satu gram bagi setiap kilogram berat badan setiap hari.


Faktor pemakanan yang sihat dan seimbang sangat diperlukan tubuh terutama bagi kita yang banyak menggunakan tenaga untuk bekerja serta belajar. Pemilihan makanan yang sihat membantu kecerdasan otak serta dapat menghindari sebarang penyakit membabitkan minda, terutama emosi diri.  


16 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page