top of page

[Jom Fit] IMBANGI WAKTU BELAJAR DAN ME TIME, ATASI MENTAL BLOCK


Segelintir daripada kita menjerat diri dengan pelajaran sehingga tiada batasan waktu, membuatkan kehidupannya terikat dengan perancangan yang tidak seimbang. Terlalu memfokuskan kepada matlamat untuk meraih pencapaian cemerlang akademik tanpa ada ruang untuk diri sendiri boleh menyebabkan mental block.


Gejala mental block ditafsirkan sebagai penolakan otak terhadap fikiran atau ingatan tertentu, yang tidak mampu untuk dikendalikan. Ketika terjadinya mental block, anda tidak boleh berfikir dengan baik seperti biasa, terutama dalam topik-topik tertentu. Malah, ia turut menghalang anda daripada melakukan aktiviti fizikal yang biasa dilakukan.


Terbeban dengan ilmu yang diserap masuk tanpa ada ruang untuk merehatkan minda akan membuatkan otak menjadi penat, lalu tercetusnya mental block. Simptom seperti kurang tidur, kurang selera makan dan kerap menyendiri antara tanda-tanda awal serangan mental block, disebabkan tiada susunan jadual pembelajaran yang teratur.


Selaraskan waktu belajar dengan aktiviti santai mahupun menyehatkan bagi mengembalikan tenaga yang banyak digunakan oleh otak untuk menyerap ilmu. Harus diingat, kegagalan fungsi otak boleh mengakibatkan keseluruhan sistem anggota tubuh menjadi lumpuh.


SIMPTOM MENTAL BLOCK


Menurut Dr Tania Savitri, Doktor Kardiologi Fakulti Perubatan Universiti Indonesia, individu yang mengalami mental block lebih sensitif dan mudah tersinggung. Ini disebabkan oleh fikiran tidak boleh memikirkan atau melakukan perkara yang kebiasaannya boleh dilakukan dengan mudah. Oleh itu, setiap butiran kata orang sekeliling, meskipun sekadar gurauan akan mudah membuatkan anda tersinggung. 


Bebanan yang berlebihan kepada otak akan mengakibatkan seseorang itu mudah lesu dan tidak bertenaga disebabkan terlalu banyak berfikir dan ilmu yang dihadam, menyebabkan tubuh seperti tidak bermotivasi untuk melakukan apapun. Malah, jika terjadi ketika menjelang peperiksaan, situasinya akan menjadi parah dan boleh mengakibatkan serangan emosi di dalam dewan peperiksaan. 


Lebih parah lagi jika gejala itu tidak dikawal dan diatasi, akan menyebabkan tekanan psikologi yang boleh mengundang kepada ‘stress’ dan ‘depresi’ sehingga mengganggu pembelajaran. Apatah lagi di usia yang muda, tekanan perasaan dan emosi mudah menyelubungi diri sehingga membuatkan jiwa memberontak serta mudah marah. 

Jangan dibiarkan emosi menguasai diri, kelak usaha bertahun yang dikejar kecundang di pertengahkan jalan. Sentiasalah belajar mengawal perasaan dengan menghindari perkara-perkara yang boleh membolak-balikkan emosi dalaman tubuh. Usah terlalu menekan diri andai menemui jalan buntu, tetapi, sentiasalah memberi ruang kepada minda untuk bermeditasi mengeluarkan aura negatif.


ATASI MENTAL BLOCK DEMI KESEJAHTERAAN DIRI 


Melupakan masa lalu atau kisah kelam yang menyelubungi diri selama ini dapat mengatasi gangguan mental block. Jelas Dr Tania, kebiasaannya kenangan buruk atau trauma akan menimbulkan pelbagai perasaan dan fikiran negatif, yang boleh cenderungkan diri berperang dengan minda.


Oleh itu, cubalah berlapang dada dengan memaafkan kenangan buruk yang menimbulkan trauma di masa lalu dan berdamailah dengan kenangan tersebut, serta memulakan hari baharu dengan fikiran positif untuk masa depan yang lebih baik.


Menulis jurnal antara cara yang boleh mengatasi masalah mental block, di mana setiap isi hati atau luahan rasa yang terpendam dapat diceritakan melalui penulisan agar minda tidak terbeban dengan kisah-kisah silam yang merungsingkan perasaan. Dengan menulis juga segala perasaan yang mengganggu diri akan membuatkan anda berasa lebih kuat untuk menghadapi hari esok. Oleh yang demikian, segala perasaan menyebabkan stress, cemas, takut, dan panik tidak akan terus-menerus menghantui diri.


32 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page