Tidak semua orang gemarkan aktiviti bersenam, apatah lagi membabitkan senaman bebanan, melainkan mereka yang ingin kelihatan langsing dan membentuk otot yang menarik. Begitu juga dengan aktiviti larian kerana bagi mereka yang lebih kepada senaman bebanan, larian akan merosakkan penghasilan otot tubuh yang diimpikan.
Namun, bagi mereka yang mahu mengekalkan otot kaki yang kuat dan bentuk tubuh atlet, larian adalah senaman yang sesuai kerana dianggap aktiviti kardio yang mampu membakar lemak dengan berkesan. Tetapi, sedar atau tidak, berlari dikatakan mampu mengekalkan ‘awet muda’ dengan penghasilan hormon endocannabinoid yang dapat merangsang perasaan lebih baik dan mengembalikan ‘mood’ seseorang yang mengalami kemurungan.
Oleh sebab itu, berlari akan melepaskan tahap hormon dengan lebih tinggi berbanding jenis latihan lain, dan membentuk fizikal yang lebih baik kerana ia membakar lemak dengan cepat. Ini kerana, badan akan membakar lebih banyak kalori walaupun selepas sesi berlari. Malah, sains membuktikan bahawa badan akan mendapat manfaat daripada senaman intensiti rendah juga.
Bagi golongan pelajar, aktiviti larian sesuai untuk meningkatkan stamina tubuh serta melancarkan kecerdasan minda. Ini kerana, berlari berupaya untuk melawan ketidakmampuan kognitif (cognitive impairment) di mana ia akan memperlahankan pemikiran yang boleh mengakibatkan hilang ingatan.
Rutin larian yang ringkas atau kardio dengan hanya sekadar berjoging mampu memberikan kesan kepada keserian wajah disebabkan oleh kelancaran perjalanan darah yang baik, di samping sistem injap jantung yang stabil. Berlari mungkin dianggap lebih memenatkan berbanding senaman bebanan, tetapi, dengan berlari dikatakan mampu menegangkan kulit serta mengurangkan penuaan di wajah.
Masalah pigmentasi juga boleh diatasi dengan melakukan aktiviti larian bagi menyeragamkan tona kulit yang tidak sekata. Pengambilan vitamin di awal pagi dengan larian mampu mencegah keradangan kulit kerana sinar ultra lembayung pada waktu pagi mampu membekalkan nutrisi yang cukup untuk kulit.
Menurut kajian yang dijalankan Dr Scott Collier, golongan warga emas yang bersenam pada waktu pagi dapat mengurangkan tekanan darah, malah, mempunyai jangka hayat panjang selagi mana individu tersebut mematuhi rutin senamannya. Begitu juga dengan berlari pada waktu pagi, dikatakan dapat membantu menenangkan minda, meningkatkan positiviti, dan menghilangkan tekanan sepanjang hari.
Tidak hairanlah mengapa aktiviti larian sangat digalakkan untuk kekal sihat dan bersemangat sepanjang hari. Bagi golongan mahasiswa, memulakan hari dengan melakukan rutin larian ringan atau berjoging sebelum ke kampus, dapat meningkatkan daya pemikiran dan tumpuan dalam kelas.
Bahkan, dapat mengurangkan tekanan dalam diri dan menghindari kemurungan disebabkan tenaga yang diberikan sepenuhnya untuk menguatkan stamina tubuh. Menjadikan aktiviti larian sebagai rutin walaupun sekadar dua kali seminggu, sudah cukup untuk mengembalikan kesegaran dan kestabilan kepada sistem dalaman tubuh.
Comments