top of page

[Jom Fit] PENGARUH BAHASA TUBUH TERHADAP MINDA

Pernahkah kita berasa gementar apabila berdepan situasi yang mendebarkan seperti membuat pembentangan di hadapan rakan sekelas, menunggu keputusan peperiksaan, mahupun menghadiri temuduga? Perasaan itu akan menerbitkan bahasa tubuh yang menggambarkan karakter atau situasi seseorang apabila melalui keadaan yang membimbangkan.


Emosi diri mampu mempengaruhi perasaan yang akan berhubung dengan tubuh, lalu menghasilkan komunikasi tanpa perlu berkata-kata atau bercakap. Pergerakan tangan, lenggok badan, posisi duduk dan berdiri serta renungan mata memberi isyarat bahasa tubuh yang akan menggambarkan situasi seseorang. 


Bahasa tubuh bukan hanya memberi persepsi tentang diri kepada orang lain, tetapi turut mempengaruhi apa yang difikirkan tentang diri sendiri. Jangan biarkan minda mengawal bahasa tubuh, sebaliknya  biarkan bahasa tubuh mengawal apa yang kita fikirkan tentang diri. 


Jika berasa gementar, jangan sesekali berpeluk tubuh dan memandang ke bawah sepanjang masa, kerana ia boleh memberikan gambaran kurang senang kepada orang lain. Sebaliknya, alihkan perasaan itu dengan menggambarkan sesuatu yang menyenangkan atau membayangkan diri berada dalam situasi selesa. 


Situasi sedemikian bukan sahaja memberi tanggapan negatif orang terhadap karakter kita, bahkan sukar untuk menyembunyikan perasaan apabila berdepan sesuatu perkara yang akan membuatkan kita berasa gelisah. Boleh jadi, situasi itu juga akan membuatkan fikiran berkecamuk dan hilang arah menyebabkan kita sukar untuk mengawal permainan minda. 

Posisi duduk juga mampu memberi gambaran mengenai keadaan diri kita, di mana jika duduk dalam keadaan tegak dengan tangan di paha menunjukkan keyakinan diri. Sebaliknya, jika duduk menyandar dengan kedudukan kaki bersilang, menunjukkan ego dan berkuasa. Situasi itu juga boleh digambarkan pada raut wajah mahupun lirikan mata. 


Andai seseorang itu memandang kita dengan penuh yakin dan memberi tumpuan, menandakan dia selesa dengan kita dan tekun mendengar setiap butir kata yang kita lafazkan. Namun, jika lirikan matanya kadang-kala beralih pada pandangan lain, bersedialah untuk berhenti daripada berkata-kata. Mungkin, dia tidak selesa dengan kita atau topik yang dibicarakan tidak menarik perhatiannya. 


Usahlah terlalu berlakon untuk diri diterima atau menonjol, kerana sikap sedemikian boleh memberi gambaran negatif orang lain terhadap karakter kita. Sebaliknya, bersikap sederhana ketika berdepan dengan orang lain, terutama orang yang baru dikenali. Ini kerana, tidak semua orang boleh terima kehadiran kita atau akan dianggap ‘plastik’ terutama dalam kalangan rakan-rakan. 


Sentiasalah sematkan dalam diri dengan kata-kata, ‘berdiam diri itu lebih baik daripada banyak berkata-kata,’ kerana menjadi pendengar itu bukanlah tidak cakna dengan situasi, tetapi, akan dilihat lebih bijak berbanding orang yang banyak bercakap, namun diibaratkan seperti ‘tin kosong’. 


Jangan biasakan diri dengan menjawab pertanyaan menggunakan bahasa tubuh, kerana ia dilihat kurang sopan. Bergantung kepada keadaan penggunaan bahasa tubuh kerana ada kalanya senyuman juga boleh memberi jawapan kepada persoalan yang diajukan. Namun, bahasa tubuh bukanlah suatu sifat negatif yang perlu dielakkan, dan tidak pula dipandang positif, tetapi, jika diamalkan sehingga menjadi tabiat, ia akan menggambarkan sikap sebenar diri yang dikawal oleh pemikiran.


74 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page