top of page

[Jom Fit] REHATKAN DIRI, TENANGKAN FIKIRAN DENGAN KEHIJAUAN ALAM


Seharian sibuk dengan tugasan dan kelas pastinya membuatkan fikiran sedikit penat dan boleh menyebabkan kelesuan serta hilang fokus untuk kelas berikutnya. Apatah lagi, selepas waktu makan tengah hari pasti akan ada yang terdampar kekenyangan, dan mahu melelapkan mata bagi melepaskan lelah.


Simptom kemalasan pasti akan menjengah dalam diri sehingga ada pelajar yang terleka dibuai kesedapan merebahkan badan di ruang istirehat ataupun surau. Jangan terlalu melayan perasaan dan mainan minda yang sering kali meniup rasa untuk bermalas-malasan sehingga terbabas menghadiri kuliah.


Sebaliknya, aktifkan diri dan minda dengan menjadikan ruang persekitaran sebagai sudut pandang untuk membangkitkan tenaga dalaman. Manfaatkan kemudahan yang tersedia di kampus seperti pusat pelajar, foyer, ruang istirehat dan lobi untuk melepaskan kepenatan akibat kelas yang panjang.


Tetapi, jangan terlalu terleka dibuai perasaan, kelak tersedar sudah di hujung waktu kelas. Jadikan fasiliti yang disediakan sebagai tempat untuk melepaskan perasaan dan ruang lepak bersama rakan yang bermanfaat.


TERBITKAN HORMON DOPAMIN, ENDORFIN DALAM DIRI

Hormon adalah zat kimia yang dihasilkan oleh kelenjar endokrin dalam tubuh dan berperanan mengatur pelbagai fungsi dan proses biologi. Salah satu fungsi penting hormon adalah mengatur suasana hati dan terdapat beberapa jenis hormon dalam tubuh yang terbukti dapat membantu meningkatkan perasaan positif, termasuk kebahagiaan dan kesenangan.


Tingkatkan hormon dopamin yang terdapat di bahagian penting sistem tubuh iaitu otak. Hormon ini berkait rapat dengan perasaan menyenangkan ketika belajar, menguatkan memori, fungsi sistem saraf motorik, dan banyak lagi.


Selain dopamin, hormon endorfin turut memainkan peranan penting sebagai penyeri tubuh dalam memberi tindak balas terhadap tekanan atau kekusutan. Kadar endorfin dapat meningkat ketika melakukan aktiviti riadah atau bersukan disamping pemakanan yang seimbang.


Fungsi kedua-dua hormon yang penting untuk meredakan tekanan dan memberikan ketenangan dalam tubuh dapat dijana dengan menghirup udara segar, melihat kehijauan alam serta melakukan aktiviti sihat yang dapat memberikan tindak balas positif kepada tubuh.


RUANG MEDITASI, MELEPASKAN LELAH

Bagi meredakan ketegangan minda pelajar serta mewujudkan persekitaran yang mendamaikan agar pelajar tidak bosan serta tertekan dengan proses pembelajaran, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya menyediakan ruang istirehat yang menenangkan.


Taman Kesihatan Minda yang penuh kehijauan dengan landskap menarik, di samping ruang santai yang sofistikated, dapat dimanfaatkan pelajar untuk beriadah, melepak bersama rakan-rakan serta menelaah apa yang dipelajari di dalam kelas.



Kemudahan ini bukan sahaja dapat memberikan ketenangan, sebaliknya, menerbitkan rasa untuk kekal bertenaga seharian di kampus di samping fasiliti khusus untuk pelajar melakukan aktiviti bagi mengisi masa lapang.





75 views0 comments

Recent Posts

See All

Kommentare


bottom of page