top of page

[#JomFit] OCD: Jangan Ganggu Corak Saya!

Updated: Nov 8, 2022



Obsessive Compulsive Disorder atau lebih dikenali sebagai OCD merupakan satu cabang penyakit kebimbangan, keresahan dan kerisauan yang melampau. Ramai sebenarnya yang terkeliru dengan individu yang mementingkan kesempuranaan dan OCD. Misalnya, kita sering melabelkan seseorang yang cenderung untuk melakukan tugasan secara teliti sebagai OCD. Sedangkan pada hakikatnya individu tersebut hanyalah seorang yang sukakan kesempurnaan untuk mengelakkan terjadinya kerja berulang atau kesilapan dalam melakukan tugasan. Jadi apa sebenarnya OCD?


OCD adalah sejenis penyakit mental yang mempunyai 2 komponen iaitu Obsesif dan Kompulsif. Obsesif ialah pemikiran yang berulang-ulang terhadap sesuatu perkara dan muncul dalam fikiran secara tiba-tiba pada masa yang rawak. Kompulsif pula melibatkan kelakuan atau perbuatan berulang yang terjadi untuk mengurangkan atau melegakan pemikiran yang berulang. Perbuatan yang berulang-ulang ini ada kalanya memberikan impak negatif kepada individu itu sendiri seperti membasuh tangan secara berlebih boleh menyebabkan kulit tangan menjadi sensitif dan menggelupas. Sebenarnya, individu yang menghadapi OCD sedar akan perbuatan mereka yang agak berlebihan tetapi mereka tidak dapat mengawal perbuatan tersebut.


Untuk membantu pemahaman dengan lebih baik berkenaan dengan OCD, berikut kami sertakan video pendek untuk rujukan.


Mesti anda tertanya-tanya mengapa pemikiran dan perbuatan yang berulang-ulang ini boleh terjadi? Hal ini terjadi apabila terdapat masalah pada kawasan pembentukan neurotransmitter. Antara punca terjadinya penyakit ini dalam diri seseorang adalah seperti berikut:


1. Genetik

Anda berkemungkinan mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami OCD sekiranya ahli keluarga terdekat seperti ibu, adik, kakak, abang atau ayah yang juga mempunyai masalah ini.


2. Personaliti

Individu yang mempunyai personaliti obsesif cenderung untuk mengalami OCD. Lazimnya golongan obsesif sering menunjukkan sifat terlalu mementingkan kekemasan, kebersihan, penyusunan yang teratur, tertib dan kesempurnaan.


3. Konflik

Mereka yang sering mengalami konflik dalam hidup cenderung untuk mengalami tekanan jiwa. Sebagai contoh, kesalahfahaman dan penurunan keyakinan diri boleh menimbulkan konflik dalaman. Nampak seperti hal remeh yang tidak penting untuk diuruskan, tetapi konflik ini boleh menyebabkan ragu-ragu dan tidak percaya diri sekiranya tekanan ini tidak dikendalikan secara baik.


Sekiranya anda mengalami simptom seperti yang disebutkan di atas atau anda mengenali individu yang menunjukkan ciri-ciri OCD, kami nasihatkan sebaik-baiknya untuk berjumpa dengan doktor atau pakar psikologi berdekatan. Dapatkan rawatan dan nasihat daripada mereka yang bertauliah.



22 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page