Stres boleh terjadi dalam semua peringkat umur termasuk pelajar, golongan bekerja mahupun golongan emas. Stres terjadi apabila keinginan mengatasi kemampuan diri. Stres yang melampau boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal termasuk pengabaian penjagaan fizikal, masalah kardiovaskular, imun, saraf tunjang dan banyak lagi. Tidak semua stres membawa kesan negatif, sesetengah stres boleh memacu motivasi diri untuk menjadi yang terbaik.
Berikut kami kongsikan beberapa cara mengatasi stres secara sihat berdasarkan kajian yang telah terbukti keberkesanannya.
Kenal pasti punca stress
Istilah tak kenal maka tak cinta boleh disesuaikan dalam perkara ini. Ambil masa untuk berfikir sejenak dan menilai semula situasi yang sedang dihadapi. Kenal pasti perkara utama yang menyebabkan stres berlaku. Contohnya, minggu ke-6 kuliah dipenuhi dengan tarikh akhir untuk menghantar beberapa tugasan. Stres bermula apabila kita mula menyedari tugasan-tugasan tersebut masih belum selesai dan menjadi cemas. Fikiran dan tindakan rasional tidak dapat bekerja dengan baik akibat cemas yang berlebihan dan seterusnya menyebabkan stress.
Jadikan sebuah pertanyaan kepada diri sendiri, sekiranya tidak mahu perkara ini berulang, apa perlu saya buat?
Bersenam
Bukankah penat, panas dan berpeluh-peluh semakin menambah tekanan kepada individu? Salah! Semua tanggapan itu terjadi disebabkan alasan yang diberikan untuk mengelak daripada bersenam. Kajian membuktikan bahawa bersenam dapat menurunkan hormon stress seperti kortisol dan menggalakkan penghasilan hormone endorfin.
Apa sol? Apa fin?
Untuk makluman, hormon kortisol dihasilkan secara semulajadi di dalam tubuh apabila kita berada dalam keadaan terancam. Sebagai contoh jika kita berada dalam situasi dikejar anjing liar, badan kita akan menghasilkan hormon kortisol dan kemudian menghasilkan tenaga yang banyak. Pacuan tenaga yang besar inilah yang membolehkan seseorang mampu berlari lebih pantas dari biasa. Hormon endorfin pula sering dikenali sebagai hormon “feel good”. Endorfin dapat memacu perasaan gembira dan seronok dalam diri seseorang. Pendek kata, hormon endorfin ini berperanan untuk counterattack atau mengatasi rasa stress dalam diri seseorang.
Pilih cara mengatasi stress mengikut kesesuaian
Cara adaptasi berbeza dari satu individu ke individu yang lain. Begitu juga cara untuk menghadapi sesuatu masalah tersebut. Adakalanya sesetengah individu mengambil pendekatan untuk menghindar dari permasalahan tersebut buat seketika sehinggalah dirinya benar-benar bersedia untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sesetengah individu lain pula mengambil pendekatan untuk menghadapi masalah itu secara langsung dan kemudian memberikan ganjaran kepada diri sendiri setelah menyelesaikan perkara tersebut. Mungin ada dalam kalangan kita yang memilih untuk berkumpul dan melakukan aktiviti menarik bersama rakan-rakan. Ikut kesesuaian dan keselesaan masing-masing.
Sokongan sosial
Rakan baik selalunya menjadi tempat rujukan terbaik sekiranya terdapat permasalahan yang serius. Baik dalam urusan keluarga, rakan lain mahupun masalah percintaan. Namun sekiranya anda tidak mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap rakan anda, silalah berhubung dan berjumpa dengan ahli kaunseling yang bertauliah. Pakar kaunseling dapat memberikan pandangan dan nasihat yang berilmiah dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi berbanding rakan-rakan yang mungkin akan memberikan pendapat yang hanya menguntungkan anda sahaja.
Meditasi
Mainkan lagu yang menenangkan, duduk dalam posisi mengikut keselesaan anda di tempat kegemaran anda di sudut bilik, pejamkan mata, tenangkan fikiran. Ambil masa sejenak untuk memberi ketenangan dan keselesaan kepada diri anda. Lupakan sejenak semua masalah yang dihadapi. Jika sudah cukup tenang, kembali hadapai masalah tersebut dengan pandangan dan hati yang lebih tenang.
Stres adalah perkara yang tidak boleh dielakkan dalam urusan seharian. Terpulang kepada kemampuan adaptasi dan cara untuk menyelesaikan masalah dalam setiap individu. Teroka dan cuba jalan yang berlainan untuk disesuaikan dengan cara peribadi anda.
Comments