Narcissistic Personality Disorder (NPD) atau Gangguan Personaliti Narsisistik adalah sejenis gangguan personaliti yang membuatkan seseorang itu memiliki rasa ingin menjaga kepentingan diri sendiri yang kuat. Pendek kata, selfish! NPD berbeza dari gangguan mental yang boleh dikesan sejak di awal usia kanak-kanak. Menurut pakar, NPD banyak dikesan pada peringkat awal usia remaja hingga dewasa. Berdasarkan kajian, golongan lelaki lebih cenderung untuk memiliki personaliti ini berbanding wanita. Besar kemungkinan hal ini dipengaruhi oleh rasa ego yang tinggi dalam diri seorang lelaki.
Pakar percaya bahawa NPD lazimnya dipacu oleh beberapa insiden yang pernah terjadi dalam kehidupan sepanjang mereka membesar. Antaranya seperti:
Faktor genetik
Pembentukan sifat peribadi
Menerima kritikan yang melampaui batas
Trauma atau kisah hitam yang pernah dialami semasa zaman kanak-kanak
Hubungan yang tidak baik dalam keluarga
Jika diperhatikan, golongan yang mengalami gangguan narsisistik ini suka dipuji dan lebih senang sekiranya perhatian tertumpu pada dirinya sahaja. Golongan ini juga sering berhadapan dengan masalah dalam perhubungan, baik bersama ahli keluarga sendiri hinggalah ke hubungan peribadi. Berlindung di sebalik perisai keyakinan yang amat tinggi, golongan ini sebenarnya mempunyai kelemahan dalam menerima kritikan. Untuk memudahkan pemahaman, golongan ini sering disebut sebagai 'cepat koyak' atau 'dia cakap orang boleh, orang cakap dia..dia koyak'. Berikut kami senaraikan beberapa ciri utama individu yang mengalami NPD.
Rasa ingin menjaga kepentingan diri yang terlalu tinggi
Merasa dirinya terbaik
Suka menerima pujian
Kerap membawa perihal diri ke pengetahuan orang ramai
Memandang rendah pada orang lain
Kurang empati pada orang lain
Bangga diri
Namun tidak semua simptom atau ciri-ciri yang dinyatakan bermaksud seseorang itu disahkan sepenuhnya menghidapi NPD. Sebaiknya buat pemeriksaan di klinik kesihatan terdekat dan dapatkan saranan daripada pakar yang bertauliah. Selamat maju jaya!
留言